"Selamat Membaca. Semoga Terinspirasi"
Kierkegaard dan Doh : Suatu Renungan
KKiieerrkkeeggaaaarrdd ddaann DDoohh :: SSuuaattuu RReennuunnggaann

Kierkegaard dan Doh : Suatu Renungan

Baru-baru ini saya menonton filem melayu Doh di Netflix arahan pengarah baru Haris M Nor dan Ariff Zulkarnain. Khabarnya, ini adalah projek pertama Indigo Films, iaitu syarikat penerbitan filem pelakon utamanya sendiri, yakni Syafiq Kyle.

Filem ini punyai potensinya tersendiri. Ada adunan yang baik antara drama dan komedi. Ia sebuah filem kekeluargaan yang menekankan tentang bakti, tradisi dan nostalgia. Plotnya agak “straigtforward”. Namun pergulatan watak di dalamnya menyentuh nurani kita.

Ia berkisarkan seorang anak muda bernama Faiz yang pulang ke kampung sejak sekian lama dan bergelut untuk memutuskan sama ada ingin meneruskan perniagaan bakeri tradisi ayahnya atau tidak setelah ayahnya meninggal dunia.

Ini mengingatkan saya tentang renungan seorang ahli falsafah kelahiran Denmark, saudara Soren Kierkegaard. Beliau mengingatkan kita kepentingan menanggapi kewujudan (eksistensi) kita di dunia ini yang dipenuhi dengan pilihan-pilihan hidup yang bukan sahaja mencemaskan, malah penuh kekesalan, keraguan dan ketidakpastian.

Menurut beliau manusia adalah insan yang terperangkap antara keabadian dan kemewaktuan (temporality). Manusia terbatas kerana berada di dalam ruang waktu tertentu, akan tetapi impian, cita-cita mahupun kekesalannya itu melampaui keterbatasannya.

Manusia tidak mampu menaakul keseluruhan sesuatu pandangan secara mutlak. Maka dengan itu, ia terpaksa membuat pilihan-pilihan yang sukar dalan kehidupan dengan melalui perasaan-perasaan manusiawi yang sukar seperti kesal, marah, sedih dan sebagainya berdasarkan waktu-waktu tertentu.

Bak kata Kierkegaard dalam Either/Or

“Marry, and you will regret it; don’t marry, you will also regret it; marry or don’t marry, you will regret it either way. Laugh at the world’s foolishness, you will regret it; weep over it, you will regret that too; laugh at the world’s foolishness or weep over it, you will regret both”

Bagi Kierkegaard, persoalannya ialah bukan tentang kebenaran mutlak tentang apakah pilihan yang tepat untuk kita buat. Akan tetapi apakah kita sanggup dan mampu memberikan sepenuh komitmen dan tumpuan terhadap pilihan yang telah kita buat. Dan pilihan yang kita lakukan mestilah asli dari hasrat kita sendiri dan bukannya kerana paksaaan daripada masyarakat.

Di dalam movie Doh ini, Faiz diberikan amanat oleh bapanya untuk menyambung perniagaan bakeri tradisi keluarga yang menjadi kegilaan rakyat Ipoh. Namun begitu, beliau ditandingi oleh pesaing baru yang lebih hipster yakni Akhirnya Kini Pastry, yang turut menawarkan roti inti kelapa yang menjadi “trademark”  Farhan Bakeri, akan tetapi dengan sentuhan moden dan juga tempat lepak cafe yang cool.

Akhirnya Kini Pastry yang dipunyai oleh Yap pada awalnya tampak menyakinkan, sehingga sanggup untuk membeli premis Farhan Bakeri untuk dijadikan stor kerana menurutnya zaman telah berubah dan perniagaan juga harus mengambil kira untung rugi. Perniagaan yang sudah tidak untung, buat apa perlu dipertahankan lagi.

Akan tetapi Yap tidak menyangka, hasil suapan pertamanya terhadap roti Farhan Bakery mengingatkan beliau tentang memorinya sewaktu kecil bersama ayahnya. Betapa roti tersebut menjadi kegemerannya yang selalu dibeli oleh Ayah Yap. Ternyata Yap telah melakukan kesilapan. Farhan Bakeri tidak menjual roti lagi. Farhan Bakeri menjual memori dan nostalgia. Farhan Bakeri menjual kenangan dan tradisi.

Begitulah manusia, kita bukan sahaja melakukan sesuatu atas sebab kepentingan ekonomi yang “temporal” semata-mata akan tetapi kita mendambakan sebuah keabadian, seperti dalam filem ini, sebuah kenangan yang abadi yang dapat dihidupkan semula dalam kehidupan kita.

Filem Doh secara ringan mengajak kita menelusuri pilihan-pilihan yang kita buat dalam hidup. Seperti Faiz yang memutuskan untuk menyambung perniagaan ayahnya atau pindah bekerja di KL, ini tentunya bukan pilihan yang mudah. Antara aspirasi dirinya sendiri dan amanat bapaknya. Di dalam filem ini seolah-olah Faiz telah berdamai dengan pilihannya.

Filem ini sepatutnya boleh sambung lagi untuk menunjukkan sama ada Faiz sendiri menguruskan Bakeri itu atau adik beradiknya yang menyambung dan dia pulang semula ke Kuala Lumpur setelah berjaya membuat roti kelapa yang sama rasanya dengan buatan ayahnya.

Malah saya ingin melihat juga sama ada Yap akan menjadikan menu roti kelapa Farhan Bakeri sebagai menu istimewanya disamping kedai bakeri yang hispter dan menjadi tempat lepak anak muda. Seolah ada satu sintesis budaya baru dan dan budaya yang lama. Konsep kafe hipster dan menu tradisi yang abadi. Namun kita tak dapat melihatnya. Tapi tak mengapa, cukuplah kita berimaginasi.

Teruskan berkarya Syafiq Kyle dan pasukan pengarah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *