"Selamat Membaca. Semoga Terinspirasi"
MATAHARI DI BALIK TIRANI BESI
MATAHARI DI BALIK TIRANI BESI

MATAHARI DI BALIK TIRANI BESI

Sekiranya anda duduk di Cheras,Kajang, dan kerja di Kuala Lumpur, kebarangkalian besar anda akan melalui jalan Persekutuan dari Batu 9, melalui Loke Yew dan terus sampai ke Pusat Bandar selepas mengharungi bulatan Parlimen. Jika anda tidak bernasib baik, jalan tidak bertol itu seringkali sesak dengan kereta dan boleh memakan masa sehinga 2 jam jika anda lewat untuk keluar pagi. Akan tetapi, sekarang sudah ada Lebuhraya baru setinggi 56.4 meter, sepanjang 24.4 km yang yang dipanggil (SUKE) untuk anda gunakan bagi memintas laluan trafik yang teruk diwaktu pagi dan juga untuk pulang pada sebelah petang.

 Namun, yang ingin aku ceritakan di dalam tulisan ini ialah pemandangan yang indah di bahagian awal laluan tersebut yang memperlihatkan empat bangunan pencakar langit (kebanggaan?) negara di dalam satu barisan. Yang lebih menggiurkan ialah, bangunan pencakar langit yang melambangkan kemegahan Kuala Lumpur ini turut berlatarbelakangkan  matahari yang setiap pagi menyelak jendelanya dan menutup tirainya dibalik tirani besi yang terpacak kukuh walau apa pun badai melanda.

Bagi aku,  ,sekadar melihat mahatari sahaja di puncak langit yang kosong tidaklah menimbulkan apa-apa lontaran perasaan. Atau jika aku melihat hamparan bangunan-bangunan yang menjadi lambang ketamadunan moden yang berkiblatkan kemajuan dan kebendaan, ia tetap tidak menjentik jiwa. Tetapi kalau anda letak matahari yang sakral itu, dibelakang tirani besi ini (nanti aku jelaskan kenapa aku panggil tirani besi), ia memberikan sesuatu petanda. Jelas, panorama itu secara langsung berbicara denganku.

“Lihatlah tirani besi ini yang kau Imani. Yang menjadi simbol keangkuhan manusia kerana air tangannya sendiri. Kau fikir ini sudah cukup menghilangkan dahaga mereka terhadap kemajuan? Seribu pencakar langit pun tidak akan cukup. Seribu gunung mereka daki pun, tidak akan memadai. Kemuncak yang ingin mereka gapai itu, menjadi tirani besi yang mereka cipta sendiri. Seperti Sisyphus, batu yang mereka tolak keatas, akan bergolek kebawah semula untuk mereka tolak kembali keatas buat selamanya”

Aku pantang dengar lontaran seperti itu, lantas aku pun turut menjawab :

“Aku takkan menjawab, “bayangkan Sisyphus gembira”. Nahh. Bukan gembira yang manusia mahukan. Manusia mahukan cabaran. Mahukan rintangan untuk diatasi. “The Will to Power” itulah yang manusia mahukan.  Keinginan untuk mengatasi batasan dan kelemahan. Untuk menegaskan kehidupan.  Bahawa kehidupan ini milikku dan akulah yang menguasainya. Bangunan itu adalah rintangan yang telah diatasi (walaupun hasil korupsi,tamak, dan eksploitasi). Maka, ada pelbagai lagi rintangan lain untuk diatasi.”

10 saat telah berlalu dan panorama telah hilang dari pandangan. Diskusi dengan Mentari terhenti seketika. Mana tidaknya, SUKE tidak menyediakan “Lookout Point”. Tidak boleh berhenti ditepi jalan untuk menikmati diskusi yang enak. Namun pikiranku masih tidak berhenti. Ia melontarkan pelbagai persoalan. Namun masih tiada jawapan. Atau pun ada jawapan tetapi tiada yang aku terima. Misalnya, dalam banyak-banyak panorama, kenapa aku lebih tertarik dengan Mentari terbenam dibalik kota ketimbang tepian pantai atau sungai misalnya?

Mungkin kerana ada kontras yang jelas antara Mentari yang telah wujud sejak jutaan tahun dengan binaan manusia yang tak sampai satu ratus tahun pun. Antara gemerlap cahaya yang terpancar dari Mentari yang menjadi sembahan manusia satu ketika dahulu (atau masih?) dengan binaan yang baru sahaja diimani manusia.  Jadi, kontras itu sangat menarik. Panorama itu bukan sekadar untuk dilihat. Tapi dibicarakan. Ada simpulan yang perlu dileraikan.

Kembali semula kepada persoalan pencakar langit sebagai simbol tirani besi. Ia sebuah tirani besi kerana ia mengarahkan seluruh kehidupan kita untuk mengejar pertumbuhan (growth), dimana-mana anda melihat di dunia ini, kena ada “growth”. Pertumbuhan pula dipandu oleh produktiviti. Jadi anda kena bekerja lebih keras, lebih gigih untuk mencipta dan meningkatkan pertumbuhan. Pertumbahan ialah Berhala Dunia Moden. Bak kata pakar ekonomis, Herman Daly, “semua orang mendukung ideologi pertumbuhan ekonomi ini dan tidak mempersoalkannya, kononnya tanpa pertumbuhan, tiada kekayaan yang dapat dijana, dan tiada manfaat yang boleh dikongsikan kepada semua, malah akan berlaku kebejatan sosial. Sedangkan GDP itu hanya mengira manfaat, tetapi tidak mengira kos. Apakah harga yang perlu dibayar untuk sebuah pertumbuhan?”

Malah menurut Ha Joon-Chang, ideologi ini sudah terlalu diarus-perdanakan sehingga seolah-olah sesuatu yang normal. Beliau berkata :

“The reason why people are much less willing to question economic orthodoxy than orthodoxies in sciences or medicine is because neoclassical economics, in modern times, has become the ruling ideology, the equivalent of Catholic theology in medieval Europe: an ideology that tells people that things are what they are because they have to be. You think there’s too much inequality, because without huge rewards investors and inventors are not going to get out of their bed to do their work. You think that the environment is being destroyed, but somehow the market will come in and rescue it. All these ideas about what is possible, what is feasible, what is necessary, are defined by economics these days. Without realising, people have been… brainwashing is too strong a word here, but taught to think in a certain way that doesn’t challenge the underlying social order, the distribution of income, wealth and power.

So, while people are willing to drink bleach to cure Covid, they’re not willing to contemplate re-nationalising the railways or raising corporation taxes. That is the consequence of economics becoming part of the power structure – it has become naturalised. You don’t ask        why the sky is blue; you don’t ask why if you drop things, they will fall to the ground.”

Jadi disebalik semua ini, aku tidak mahu kita menolak kemajuan dengan kembali ke “zaman dahulu”. Ke era “khalifah” atau “kegemilangan Islam” atau mana-mana era kegemilangan yang lain. Zaman telah berubah, kompleksiti ekonomi juga telah berubah. Yang kita perlu adalah keseimbangan. Bukannya kembali kepada “alam”. Yang perlu kita hadam ialah manusia sentiasa bergelut untuk mengatasi alam. Alam memberikan daya luar jangka yang mampu merenggut jutaan nyawa seperti Gunung Semeru yang memusnahkan habitat dan hidupan sejauh 17km. Dalam masa yang sama manusia juga memberikan perlawanan dan menegaskan hidup dengan membina semula kehidupan selepas bencana.

Manusia  mungkin hanya terbatas pada fizikal (walau saat ini, segenap upaya sedang dilakukan bagi membangunkan kapasiti fizikal)  akan tetapi tidak terbatas pada akalnya. Tidak lama lagi mungkin sahaja kita berupaya membina sebuah kesedaran buatan yang canggih yang mampu menjana akal kita untuk membuat perkiraan dan pertimbangan yang lebih hebat lagi. Akan tetapi kita tidak mahu ia hanya menjana pertumbuhan tidak terkawal. Kita mahu ia dipandu dengan seni kehidupan yang lestari. Bukan untuk menjadikan dunia ini syurga. Akan tetapi mencukupi untuk meneruskan pergelutan pada esok hari.

Boleh jadi kota yang kita bangunkan ini bukanlah sebuah tirani. Akan tetapi sebuah gelanggang yang kita geluti setiap hari. Disebabkan itu sekarang ini juga sudah popular terma-terma seperti Sustainable Development Goals apatah lagi dalam menaiktaraf bandar supaya ada pembangunan yang Lestari.  Malah beberapa negara maju pun telah menyatakan komitmen sifar karbon di beberapa bandar mereka menjelang 2050.Malah beberapa bandar di dunia sudah ada yang menjadi kawasan bebas-kereta seperti  Zermatt di Switzerland. Ini adalah bentuk-bentuk kecil usaha manusia untuk mendepani cabaran-cabaran moden yang datang dengan bencana “pertumbuhan ekonomi”. (sama ada usaha ini berhasil atau tidak ini perbincangan lain)

Jadi, jika aku lalu SUKE sekali lagi dan melihat panorama tersebut sekali lagi, aku akan berkata kepada Mentari :

“Hey, Terima kasih atas komentar. Aku jalan terus ya!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *