Kredit gambar : Harian Metro
Lebih kurang dua minggu lepas, saya sempat menonton Teater Muzikal T.Pinkie arahan Dr Rosmina Mohd Tahir dari karya asal Sasterawan Negara, Pak Samad. Seumur hidup saya, tidak pernah mendengar tentang karya T.Pinkie ini, apatah lagi pementasannya yang telah pun dibuat berkali-kali, dengan pelakon yang berbeza, kali terakhir pada 17 tahun yang lalu. Maka di suatu sudut, saya seorang yang malang kerana terlepas karya lagenda ini buat sekian lama, akan tetapi di suatu sudut yang lain, saya juga bertuah, kerana dapat melihat pementasan teater ini buat kali pertama, tanpa ada apa-apa jangkaan atau pun bias sekiranya sempat membaca karya asal.
Sudah tentu, ini adalah antara teater yang sangat berkualiti dan mempunyai nilai produksi yang tinggi. Dengan barisan pelakon yang handal dan lagenda, ditemani bakat-bakat baru, berhasil menghidupkan pementasan ke peringkat yang maksimal. Walaupun dari sudut “setting” saya lebih suka Panggung Eksperimen Aswara saat menonton pementasan “Ghaib” karya Faisal Tehrani, kerana ia benar-benar sebuah panggung. Untuk T.Pinkie ini, kekurangan Balai Budaya Tun Syed Nasir tidak menenggelamkan keagungan pementasan ini.
Dari babak ke babak, kesemua pelakon memainkan peranan dengan sangat baik ditemani dengan runut bunyi yang asyik dan menyeronokkan. Tidak dinafikan, ada beberapa babak yang agak meleret dan suram serta tidak menambah kekuatan penceritaan , akan tetapi dengan selingan muzikal dan efek pencahayaan dan set yang bagus, sangat membantu mengekalkan momentum penonton untuk terus fokus pada teater. Barangkali, dengan berehat 10 minit itu memberi ruang kepada penonton untuk memperdalam pemahaman dan merenggang otot.
Salah satu cabaran terbesar pementasan ini ialah watak utama, yakni T.Pinkie (dimainkan oleh Zera Hariz) itu sendiri tenggelam dengan watak lain yang lebih menyerlah dan mengagumkan iaitu Nyai Sunarti (dimainkan oleh Nabila Huda). Karakter Nyai Sunarti ternyata lebih kompleks dan mendalam ketimbang watak T.Pinkie. Kesusahan dan dilemma yang dihadapi T.Pinkie tidak terlalu mengesankan. T.Pinkie dibesarkan dalam keluarga (bangsawan?) yang tidak benar-benar mengenali bapanya, dan mewarisi kerjaya ibunya sebagai penari lantai joget dan kemudian seolah-olah diculik dan dipaksa kahwin dengan Gonjuloh, ketua samseng lantai joget itu. Ia adalah “trope” yang biasa ditonton dan dimainkan. Seorang wanita cantik yang menjadi rebutan para lelaki, dan akhirnya menjadi mangsa kerakusan Jantan dayus (patriarki?) yang ganas.
Karakter Nyai Sunarti lebih mendalam. Beliau ialah gundik kepada penjajah (kolonial Belanda) yang setelah lama “ditawan”, telah jatuh cinta dan obses terhadap “pemiliknya”. Ini adalah contoh klasik “Stockholm Syndrome” dimana orang yang di “culik” atau di”tawan” oleh “penculik” akhirnya mempercayai dan mencintai “penculiknya” Namun pengembangan karakter ini tidak berhenti disitu. Nyai Sunarti meneruskan kehidupannya sebagai gundik tetapi dengan kesedaran penuh akan pesan ibunya bahawa :
“Bangsa kita masih tetap punyai batin. Jangan senang-senang menyerah”.
Walaupun Nyai Sunarti telah menyerahkan “bau dan badannya” untuk dikuasai oleh Tuan Van Klinkert Delarosa, dia tetap tidak menyerahkan batinnya. Ini bertentangan dengan pandangan bapanya yang melihat setelah 400 tahun dijajah Belanda :
“Kita tidak punya badan, kita tidak punya bau, Semua itu hak Belanda- hak Ratu Wilhamina”.
Bagi Nyai Sunarti, barangkali batin kita juga punya bau! Dalam lagu Monolog Nyai, ada suatu rangkap :
“Kenapa
Kau Diam Membisu
Bagaikan Terkunci Mulutmu
Membantah
Berat Badan
Yang Meloyakan
Berbau
Aduh Nyai
Kenapa Kau Tak Membantah”
Ternyata Nyai bukan tidak mahu membantah, akan tetapi telah lama menderita termasuk apabila diburu semasa zaman penjajahan Jepun. Malah beliau dicaci oleh bangsanya sendiri kerana menjadi Nyai kepada penjajah, walhal selama 400 tahun, bangsanya sendiri juga tidak melawan! Maka, mengapa segala dosa dan beban tanggungjawab untuk membantah penjajahan harus ditanggung oleh Nyai semata-mata? Itulah bangsanya yang HIPOKRIT yang cuba diekpresikan oleh watak Nyai Sunarti ini dengan lakonan Nabila Huda yang hebat dan mengesankan. Nabila Huda ialah “MVP” di dalam teater tersebut.
Untuk itu, saya teringat sebuah lagu dari band Indonesia yang hebat “Noah”, yang dulunya “Peterpan” , dengan tajuk lagunya “Kupu-kupu Malam”. Kupu-kupu Malam ini juga sejenis “gundik”, yang menjual sebahagian “organ tubuhnya” untuk kesenangan lahiriah. Kesengsaraan kupu-kupu malam ini dan hipokrasi pelanggannya digambarkan dengan tepat di dalam rangkap ini :
“Ini hidup
Wanita Si Kupu-Kupu Malam,
Bekerja bertaruh seluruh jiwa raga,
Bibir senyum, kata halus merayu memanja
Kepada setiap mereka yang datang”
“Dosakah yang dia kerjakan
Sucikah mereka yang datang?
Kadang dia tersenyum di dalam tangis
Kadang dia menangis di dalam senyuman”
Mereka yang mencaci dan membenci “Nyai” atau “Kupu-kupu Malam” barangkali tidak sedar bahawa jika tiada permintaan, maka tiadalah penawaran.
Bagi saya Lantai Joget T.Pinkie adalah pentas kehidupan kita. Pentas kehidupan yang dijarah dan dikuasai oleh samseng-samseng pelbagai bentuk. Ada samseng tidak berkolar dan berseluar compang-camping. Ada juga samseng berkot, berkolar putih dan bertali leher. Samseng-samseng ini dengan sewenang-wenangnya menguasai “Lantai Joget”, mengambil apa sahaja yang mereka mahu walau secara paksaan. Mereka seringkali terlepas dari sebarang hukuman, dan mempunyai mata-mata walau dimana mereka berada. Samseng ini bukan sahaja orang yang berlainan warna kulit dan budaya dari kita seperti penjajah. Malah samseng ini juga kadang-kadang mempunyai warna kulit, bahasa dan agama yang sama seperti kita! Ambillah iktibar dari Lantai T.Pinkie. Moga kita masih punyai batin, walau kehilangan bau dan badan.