"Selamat Membaca. Semoga Terinspirasi"
Arnold, Healing dan Tiwikrama Kehidupan
Arnold, Healing dan Tiwikrama Kehidupan

Arnold, Healing dan Tiwikrama Kehidupan

Bukankah kita kadang-kadang tertanya-tanya bagaimana orang-orang yang dikatakan berjaya menghabiskan sehariannya? Apakah rutinnya? Jikapun seseorang itu telah mempunyai jadual hariannya, tidakkan dia suatu saat akan tertanya-tanya, untuk apakah semua ini? Untuk berapa lama lagikah harus seseorang lakukan semua ini? Hari demi hari. Untuk 5 tahun? 10 tahun? Atau sehingga mati? Berbaloikah tujuan yang ingin dicapai?

Bagi sesetengah orang, ini dilema yang sangat besar. Bagi sesetengah orang yang “berjaya”, ini adalah ersoalan yang tak sepatutnya ditanyakan oleh orang yang sibuk dengan kerja, bak kata Arnold. Bagi beliau, ini semua pertanyaan-pertanyaan orang yang tiada kerja. Yang tidak sibuk menguruskan kehidupannya. Kalaulah, setiap pagi, dia sudah harus ke bendang bercucuk tanam, ataupun memberi bintang ternakannya makan, menguruskan organisasi, mahupun pergi ke gym untuk membina badan, sudah tentu dia tidak ada masa mempertanyakan maksud atau makna bagi semua ini.

Akan tetapi, bagi saya kita tak bisa menutup persoalan tersebut. Ia mengikut kaki kita dari bergerak. Merenggut jiwa kita dari mempunyai kejituan visi dan misi. Ini kerana, sebelum apa-apa visi ditampilkan, kita telah nampak betapa tidak bermaknanya visi tersebut. Ini kerana kesemua visi tersebut tidak abadi. Ia akan melebur ke dalam ketiadaan. Malah, berapa ramai manusia yang hilang punca dan tidak tentu hala, apabila visi dan impiannya telah tercapai. Dia mahukan lagi dan lagi. Jadi, ini menuntut persoalan kedua, apakah yang memaknai kehidupan? Apakah dengan punyai tujuan yang jelas itu sudah cukup memaknai kehidupan? Apakah seseorang yang berjaya seperti Arnold Schwargenegger yang memenangi Mr Olympia sebanyak 7 kali merasa gembira dengan pencapaiannnya? Bagi beliau, dan ramai lagi orang yang berjaya dan bermotivasi tinggi, mereka sentiasa punyai gunung baru untuk didaki. Jika gunung itu telah berjaya didaki sebanyak 7 kali, itu telah menjadi terlalu mudah, dan mereka memerlukan cabaran baru. Dan sentiasa seumur hidup mereka akan sentiasa, tanpa puas dan lelah, cuba mendaki lagi dan lagi.

Sebelum kita ingin meneruskan perjalanan, kita tak dapat menutup persoalan ini. Sebelum mempunyai sebuah gunung untuk didaki, kita sudah pun nampak pengakhirannya. Sekirannya gunung ini berjaya didaki, kita akan terus-terusan mencari gunung baru untuk didaki. Dan ini tidak akan pernah berhenti.

Ataupun boleh jadi itu perspektif yang salah. Mungkin saja kita tak perlu melihat suatu apa pun pada pengakhiranya. Walaupun segala sesuatu pasti berakhir, itulah yang menjadikan ia bermakna. Sesuatu yang kekal buat selamanya, tidak punyai tempat di dunia ini. Mungkin saja kita yang terlalu takut dengan pengakhiran semua ini. Apabila seseorang itu terlalu takut dengan pengakhiran, dia menjadi kaku dan langsung tidak bergerak.

Saya pula secara peribadi sentiasa mencurigai rutin. Saya khuatir rutin akan mengurung jiwa saya yang bebas untuk bergerak. Tapi jiwa yang bebas ini seringkali buntu dan tersesat jalan. Ini kerana lautan pengetahuan dan ketidaktentuan itu terlalu besar untuk diatasi. Saya harus berdamai dengan batasan, dan memperkukuh rutin yang ada untuk menguasai ruang-ruang yang terhad. Seperti seorang Samurai yang mempunyai rutin dan sangat berdisiplin menuruti rutinnya, untuk menguasai sepenuhnya skill bermain pedang atau membuat teh yang sempurna.

Mungkin yang tersembunyi disebalik rutin itu ialah sebuah pengukuhan makna. Pembinaan peribadi yang utuh. Malah semua kisah kejayaan mengandungi rutin dan disiplin yang jitu. Tekananlah yang menghasilkan berlian. Besi yang panas harus dilentur untuk menjadi pedang yang tajam.

Tiwikrama seorang Arnold

Saya ada tengok satu Netflix Documentary tentang idola dunia Arnold Schwarzenegger. Kesemuanya ada empat siri. Siri 1 tu saya pikir sangat berkesan. Ia menceritakan tentang Arnold yang menghadapi zaman kanak-kanak yang sukar kerana Ayahnya yang trauma dari perang sentiasa melakukan keganasan rumah tangga. Akan tetapi keganasan yang sama, memberi kekuatan dan motivasi kepada Arnold untuk berjaya dan keluar daripada persekitaran toksik itu, keganasan yang sama juga memusnahkan kehidupan abangnya Meinard yang lebih bijak dan sensitif sehingga abangnya meninggal dunia kerana memandu dalam keadaan mabuk dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Setelah menempa kejayaan demi kejayaan dalam sukan Bina Badan, Bapanya pula meninggal dunia. Ketika ditanya apakah perasaan Arnold ketika tu, beliau berkata “I don’t feel anything. I have goals in mind”. Bagi Arnold, jika kita seorang yang mempunyai visi yang jelas, yang nampak dimana kita berada bertahun-tahun dari sekarang, kita tidak ada masa untuk melayan perasaan. Kita tak akan bertanya soalan “How am I feeling today? Do I feel sad? Do I feel depress?”

Dan ini menarik untuk difikirkan. Di zaman healing dan sosial media ini, kebanyakan wacana berkenaan kesihatan mental adalah seputar persekitaran yang tidak kondusif, toksik, cyberbully, diskriminasi di tempat kerja, keganasan rumah tangga, ahli keluarga dan rakan-rakan yang toksik dan sebagainya. Akan tetapi kita lupa bahawa, kehilangan matlamat yang jelas itu juga salah satu faktor utama kesihatan mental. Oleh kerana kita hidup di zaman yang penuh ketidaktentuan ekonomi, dimana pengajian tinggi tidak lagi menjamin kerja, dimana gaji tidak naik selaju inflasi, dimana rumah sudah jadi terlalu mahal, dimana kerja kerajaan sekalipun tidak lagi menjamin kestabilan, telah menyumbang kepada ketiadaan matlamat yang jelas kepada generasi baru kita.

Kita sering bertanya, aku ingin jadi apa? Apa yang membuatkan aku gembira? Apa yang boleh menjana pendapatan dalam masa yang sama membuatkan kerjaya ini adalah hobiku? Maka ketiadaan jawapan kepada persoalan-persoalan ini menghentak generasi baru kita kearah lohong hitam depresi yang tidak berkesudahan. Sudah tentu, Arnold tidak melakukan ia semuanya sendirian. Akan tetapi bermula dengan kejituan visi dan misi, dia bergerak mencari komunitinya. Bermula dengan komuniti bina badan di Austria, berkawan dengan ahli-ahli bina badan yang lain, kemudian memasuki pertandingan-pertandingan kecil, perlahan-lahan beliau mendaki tangga kemasyuran. Semangat dan karismanya yang tinggi menyenangkan ramai orang di sekelilingnya, lantas mudah melihat potensi yang ada pada dirinya. Peluang demi peluang terbuka untuknya, sehinggalah dia dapat bertemu sendiri dengan idola masa kecilnya, Reg Park, yang akhirnya dia tewaskan dalam Mr. Olympia tahun 1970-an.

Masalah yang melanda generasi baru ini juga adalah kerana wujudnya internet dan lebih-lebih lagi sosial media. Jika dahulu, untuk mengetahui maklumat atau update tentang rakan-rakan kita, kita perlu bertanya secara fizikal atau mendapat berita dari mulut ke mulut. Dengan membawang bersama makcik bawang, baru lah kita tahu  “oh sipulan bin sipulan itu telah dapat kerja Petronas, jadi menejar”. Saat itu, tatkala kita mendengar berita itu, kita hanya mendapat gambaran yang kabur sahaja tentang prestij menjadi menejar Petronas itu. Kita mungkin tahu gajinya tinggi, tapi kita tak jelas tentang gaya hidupnya. Dia pakai kereta apa, rumah sebesar mana, melancong ke mana, makan apa dan sebagainya. Malah dalam 10 orang rakan yang kita kenal, mungkin berita tentang 2 atau 3 orang sahaja yang sampai kepada kita. Di zaman sosial media, segala-galanya berubah. Kita bukan sahaja boleh mendapat update daripada rakan terdekat kita sahaja, malah rakan satu sekolah, rakan yang baru kita jumpa di Pesta Buku, rakan universiti, rakan kepada rakan punya update juga kita dapat ketahui dalam masa kurang 5 minit. Segala maklumat tentang cara hidup mereka, apa pencapaian mereka yang terbaru, tempat pelancongan yang mereka kunjungi, kesemuanya datang berderu dan menghentak kita yang sedang melihat di papan skrin di dalam bilik yang sunyi.

Kita mulai membanding-bandingkan pencapaian dan perkembangan diri kita dengan ribuan malah jutaan orang lain yang tidak kita kenalipun dan mula merasa resah dan gelisah dengan pilihan-pilihan yang akan kita buat untuk memperbaiki hidup. Kita tidak lagi boleh bersabar dan bertatih atas jalan yang kita pilih mengikut jangkamasa yang kita tentukan. Misalnya kalau orang lain boleh mendapat PHD sebelum umur 30 tahun, kita pula mahu lebih laju. Mahu tamat PHD sebelum 25 tahun. Kalau orang lain boleh mendapat pendapatan 5 angka sebelum 40 tahun, kita pula mahu berkejaran mendapat pendapatan 5 angka sebelum 30 tahun. Sentiasa membuat perbandingan demi perbandingan yang tidak masuk akal dan hilang di landa ketidaktentuan.

Boleh jadi, apa yang sebenarnya kita perlukan adalah pengabdian kepada sesuatu. Sebuah pengabdian itu punyai ritual, proses, metod, gaya hidup, dan pengorbanan. Boleh jadi, kebebasan yang sempurna ialah sebuah pengabdian. Sebuah pengabdian itu tidak mempunyai jangka waktu tertentu. Ia boleh menelan masa seumur hidupmu dan ia tetap bukan sebuah perkara yang sia-sia. Bak kata Katsumoto di dalam “The Last Samurai”,

“A perfect blossom is a rare thing. You can spend your whole life looking for it, and it will not be a wasted life”

Abdikanlah dirimu teman!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *