Lawatan anjuran Sisters in Islam kali ini memberi manfaat yang sangat besar dalam meluaskan pengalaman dan menambahkan pengetahuan dalam menanggapi isu pluralisme agama dan kepelbagaian status seks dan gender.
Ia termasuk isu melibatkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Sejak hari pertama sampai di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta bersama rakan-rakan, saya sudah dapat merasai kemeriahan suasana kepelbagaian dan toleransi yang bakal saya dengari dan alami dari siri-siri diskusi dan perjumpaan yang dirancang.
Kami melawat rakan-rakan di Forum Mahasiswa Ciputat (Formaci) dan juga melawati sekitar Universiti Islam Negeri (UIN). Terdapat banyak UIN di Jakarta, cuma kami sempat singgah di kampus induknya sahaja.
Pertemuan dengan Formaci menunjukkan bagaimana mereka konsisten membahas teori politik dan ekonomi melibatkan tokoh-tokoh seperti Tan Malaka, Karl Marx, Lenin, Antonio Gramsci, Mao Zedong dan Herbet Marcus.
Diskusi dibuat tiga kali seminggu dengan menghabiskan tulisan-tulisan tokoh-tokoh tersebut dan dibahas lumat. Ini suatu disiplin keilmuan yang wajar dicontohi oleh gerakan anak muda di Malaysia.
Di Malaysia, kita sudah punyai banyak gerakan-gerakan jalanan, dan diskusi jalanan yang semakin popular di kalangan anak muda. Bagaimanapun ia masih kurang disiplin dari sudut membahas karya tokoh secara langsung.
Rakan-rakan di Formaci, dengan kumpulan antara 30 hingga 40 orang, benar-benar serius menjalankan diskusi seperti ini.
Kami juga sempat bersama dengan tokoh aktivitis dan intelektual kesetaraan gender yang tidak asing lagi di Indonesia iaitu Dr Nur Rofiah. Menariknya dalam pembentangan Dr Rofiah, beliau memberi interpretasi baru tafsiran Al-Quran yang sebelum ini begitu patriarchal (bersifat kelelakian).
Beliau mencuba meneutralkan peranan bahasa Arab yang patriarkal demi menggali semula tradisi keadilan Islam dalam konteks kesetaraan gender melalui pembersihan teks suci daripada dicemari tafsiran budaya Arab kuno, yang diwarisi sejak abad ketujuh.
Katanya, terdapat perbezaan antara makna pertama al-Quran yang hanya dalam pengetahuan Allah dan makna kedua yang dalam tafsiran manusia.
Sejauh mana pun manusia punya ilmu tentang pentafsiran al-Quran, status tafsirannya tidak akan sampai kepada makna pertama, bermaksud suatu tafsiran yang terbuka dibahas dan dipersoalkan.
Kebanyakan agamawan dan tokoh-tokoh agama menganggap sikap tidak bersetuju dengan tafsiran al-Quran suatu penentangan terhadap Tuhan. Ini tidak benar dan salah sama sekali.
Dalam konteks kesetaraan gender, Dr Rofiah mengatakan bahawa semangat al-Quran tentang keadilan untuk semua termasuklah wanita seakan tidak disedari oleh ulama terdahulu. Ini bukanlah kerana kita tidak mengiktiraf keilmuwannya, tetapi kesedaran gender ketika itu tidak ada.
Ia bukanlah sesuatu yang pelik jika kita melihat konteks pada zaman itu akan tetapi dalam mendepani cabaran pemodenan waktu ini, di mana penindasan dan pencabulan hak asasi wanita semakin berleluasa, tafsiran semula terhadap Al-Quran dan hadis menjadi keperluan yang fundamental.
Diskusi disambung dengan beberapa aktiviti dan lanjutan soalan dari para peserta.
Utamakan maqasid atau akidah?
Kami juga bertemu dengan Ulil Absyar Abdalla, seorang tokoh Jaringan Islam Liberal yang kontroversi di Indonesia.
Ulil memberikan perspektif yang jauh berbeza daripada apa yang didengari. Ulil menyampaikan pandangannya, dalam mendepani pluraliti agama, pluralisme wajib dibahaskan dan menjadi pegangan semua.
Toleransi dan perpaduan antara agama hanya boleh diwujudkan jika kita mengiktiraf dan menghargai perbezaan di kalangan kita.
Perbahasan hukum hakam dan halal haram sepatutnya tidak lebih penting dari persoalan maqasid syariah dan perbincangan maslahah baru dalam erti kata mengangkat keadilan dalam Islam.
Dalam diskusi ini, saya punya banyak persoalan yang bermain di fikiran, antaranya ialah :
(1) Dalam perbincangan maqasid syariah, dalam erti kata merespon persoalan dan maslahan baru, sejauh mana kita mampu menggali al-Quran? Adakah sehingga membenarkan perkara yang seolah secara senyap disepakati keharamannya.
Misalnya persoalan LGBT. Apakah tafsiran baru terhadap al-Quran boleh pergi sejauh menghalalkan LGBT? Apakah kondisinya dan bagaimana? Apakah maqasid syariah punya batas? Jika ada, di mana?
(2) Inilah pertembungan oleh golongan konservatif berpegang kepada akidahisme dengan golongan maqasidiyyah yang melihat maslahah sebagai tunjang utama perbahasan keadilan dalam Islam. Bagi golongan konservatif apa sahaja ideologi, pemikiran dan cara menanggapi sesuatu isu mestilah berpaksikan atas dasar kesucian dan kemurnian akidah.
Akan tetapi bagi golongan liberal, atau yang mengangkat maqasid syariah sebagai tunjang, apa yang penting ialah matlamat keadilan Islam. Pertembungan keduanya sangat memeritkan kerana asas keduanya berbeza.
Pastinya saya memilih maqasid syariah sebagai matlamat Islam berbanding kesucian akidah yang tiada manfaatnya untuk manusia melainkan hanya ubudiah peribadi dengan tuhan.
Ulil menjawab, dalam isu LGBT, kita tidak akan berupaya menarik maqasid syariah sejauh membenarkan perbuatan itu. Paling tidak pun kita boleh menyantuni hak-hak mereka sebagai warganegara, bukan sebagai seorang Muslim yang bebas mengamalkannya.
Ulil meneruskan lagi, demokrasi di Indonesia di samping mewujudkan NGO yang memperjuangkan pluralisme dan keharmonian, ruang demokrasi yang sama juga diisi dengan ektremis agama.
Ini termasuklah Laskar Jihad , Front Pembela Islam dan Majlis Mujahidin Indonesia.
Kami juga berpeluang melawat pejabat besar Nahdatul Ulama (NU). Mereka juga sangat gembira dengan lawatan kami. Daripada pembentangan wakil NU, walaupun berpegang pada mazhab akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, pandangan mereka tentang isu kemanusiaan tidak kurang hebatnya.
Ini dikeluarkan melalui jabatan-jabatan mereka yang progresif mengendalikan isu-isu pekerjaan dan pengurusan sumber manusia.
Ini jauh berbeza dengan cara golongan Sunnah di Malaysia yang hanya sibuk berzikir “ya hanana” dan mengadakan konsert Malam Cinta Nabi besar-besaran dengan belanja yang cukup membazir.
Saya cukup menghargai pandangan wakil NU yang menjunjung prinsip toleransi untuk bekerjasama dengan mana-mana wakil NGO Islam sekalipun berbeza pendapat dan cara pandang.
Kesenian untuk revolusi sosial
Selepas habis diskusi, kami ke Salihara, komuniti kesenian dan kesusasteraan yang banyak menonjolkan karya-karya, seperti teater, yang memfungsikan kesenian sebagai alat melawan penindasan.
Kami sempat menonton tayangan teater berkisarkan kehidupan seorang budak kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.
Budak itu, dalam teater wayang kulit tersebut, akhirnya terperangkap dan tenggelam dalam kebejatan penindasan kapitalisme yang penuh penipuan dan pemerasan golongan lemah.
Ia karya yang sangat klasik dan mengujakan! Penyampaian mesejnya cukup dalam dan menyentuh.
Cuma saya sedikit terkilan apabila melihatkan hadirin yang menonton teater itu kebanyakannya orang tempatan yang sepatutnya mencerna mesej itu dan melakukan revolusi pemikiran di kawasan mereka.
Bagaimanapun, diskusi bersama Guntur Romli, seorang aktivis yang tidak asing lagi, lebih mencerahkan.
Beliau mengatakan, banyak juga teater-teater rakyat yang dibuat secara percuma di luar Salihara.
Mungkin saja pada perkiraan saya, teater Salihara yang kelihatan dikunjungi golongan elit ini sebenarnya bukan mencuba merubah pemikiran rakyat tetapi menjengah pemikiran intelektual elit supaya memfungsikan diri mereka berkarya untuk memperjuangkan golongan marginal.
Kami juga mengunjungi Pesantren Nyai Masriyah ( kiri ). Di sana, banyak yang saya pelajari, termasuk kisah penderitaan hidup dan perjuangannya memberdaya wanita khususnya pelajar-pelajarnya di pesantren.
Pertama kali saya tertarik dengan perjuangan ibu Masriyah ini menerusi dokumentari Nurhayati Kaprawi berjudul Ulama Perempuan.
Saya tertarik dengan ayatnya bahawa: “Lelaki yang pemimpin itu ialah membuat yang dipimpin sama-sama kuat, bukan melemahkannya.”
Tafsir resiprokal al-Quran
Kami juga bertemu Kiyai Hussein Muhammad dan Faqihudin Abdul Qodir.
Perbincangan sekitar bengkel walaupun bersamaan dengan pembentangan Dr Rofiah, Kiyai Hussein memberi perbahasan lebih mendalam seputar pentafsiran teks yang perlu dilihat semula, khususnya dalam perbahasan kesetaraan gender.
Al-Quran, menurutnya tidak boleh sekali-kali dibaca tanpa ada semangat menjunjung keadilan dan melawan penindasan.
Justeru teks-teks al-Quran dan hadis tidak boleh dibaca secara literal dan perlu dilihat mengikut kontekstual ia diturunkan.
Faqihudin pula menerangkan bahawa pembacaan teks juga perlu dibaca secara resiprokal. Ini perkembangan baru dalam bidang pentafsiran al-Quran dan hadis.
Sebagai contoh, ayat yang mengatakan lelaki itu pemimpin bagi laki-laki, itu jika dibaca secara resiprokal bermaksud, wanita juga pemimpin bagi laki-laki mengikut konteks yang bersesuaian.
Saya membuat pertanyaan tentang bagaimana dengan ayat al-Quran yang menegah anak-anak dari mengatakan “ah” kepada ibu bapanya, apakah ia juga boleh dibaca secara resiprokal.
Beliau menjawab, walaupun konsep pembacaan resiprokal ini masih baru dan perlu dikembangkan lagi, beliau bersetuju ayat itu jika dibaca secara resiprokal bermaksud, ibu-bapa juga tidak boleh berkata sedemikian terhadap anak-anak.
Ia akan tetapi bukan pada perkataan “ah” tetapi merujuk kepada kata-kata yang tidak baik.
Ini bermaksud, kedua-duanya mendapat keadilan di mana kedua-dua pihak ditegah dari berkata yang tidak baik baik dari ibu bapa ataupun anak-anak.
Agama alat untuk keadilan
Kami juga ke Fahmina Institute dan berdiskusi dengan mereka.
Di sini lahirnya tokoh-tokoh seperti Abdul Muiz Ghazali, Kiyai Hussein dan Faqihudidin. Fahmina menawarkan bidang-bidang pengajian agama, termasuk tafsir al-Quran hadis dan usuluddin.
Selain aktif dalam bidang pengajian al-Quran, mereka juga menurut Muiz, cukup aktif dalam misi-misi kemanusiaan.
Muiz berkata, di Fahmina, akademik bukan ukurannya akan tetapi sejauh mana ilmunya difungsikan untuk kemanusiaan.
Beliau menyebut bahawa Islam hanyalah alat seperti agama-agama lain untuk keadilan sejagat dan bukan sebagai alat penindasan.
Setelah itu, kami ke Komisi Nasional Anti KekerasanTerhadap Perempuan (KOMNAS Perempuan). KOMNAS ini hampir sama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Malaysia.
KOMNAS Perempuan wujud mandiri dan khusus bagi memperjuangkan isu-isu wanita. Banyak perbincangan yang dikongsi dan diceritakan melibatkan isu cerai, poligami, perkahwinan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga.
Perkara ini juga dibahas dari sudut perlembagaan dan undang-undang yang begitu sukar di Indonesia.
Ada daerah yang melakukan undang-undang sendiri yang bertentangan dengan perlembagaan, misalnya di Aceh.
Undang-undang syariahnya sangat tidak masuk akal dan bertentangan dengan prinsip keadilan manusia. Antaranya seperti perempuan tidak boleh duduk mengangkang di atas motor kerana dianggap menyerupai lelaki.
Ini sungguh tidak masuk akal dan interpretasi agama yang memalukan.