"Selamat Membaca. Semoga Terinspirasi"
Cintaku Tertinggal Di Ba Na Hills
Cintaku Tertinggal Di Ba Na Hills

Cintaku Tertinggal Di Ba Na Hills

“Tak sangka kan?”

“Kenapa tu?”

“Ya Lah, punyalah jauh sampai ke sini. Dah la sejam nak ke sini dari Da Nang, naik kereta cable pulak 30 minit, baru nampak tersergam indah kota Eropah ni sebalik gunung”

“Itulah Ba Na Hills, 1489 meter tinggi dia.  Lebih kurang tinggi Gunung Nuang di Selangor. Ada pulak idea Debay ni nak buat resort kat atas ni. Tak tahulah kenapa panggil “hills”. Baik panggil “Mountain” je.

Sampai je di Ba Na Hills, aku tertanya-tanya, apa yang membuatkan tempat ini indah? Adakah sebab ini kali pertama aku melihatnya? Apakah suasana di sini akan berterusan  indah buat kali yang kesepuluh atau seratus?

Barangkali kerana itu pertama kali aku melihatnya atau paling kurang pun ia indah jika kita melihat atau mengunjunginya sekali-sekala. Sebab itu apabila kita pulang ke kampung, terasa nostalgia dan ada “vibes” kerana kebanyakannya pulang ke kampung hanya apabila ada perayaan yang dapat cuti yang panjang. Sudah tentu perasaaan ini berbeza pula kepada orang yang memang duduk di bandar dan tiada “kampung” untuk pulang.

Fenomena yang sama aku rasakan ketika mengunjungi Ba Na Hills, salah satu tempat tercantik di sebelah barat Da Nang, akan tetapi terletak jauh dan tinggi di atas Gunung  Truong Son, sekitar 1500 meter dari aras laut. Ba Na Hills ini sebuah tempat peranginan ibarat Genting Highland di Malaysia. Walau Genting Highland terletak 300 meter lebih tinggi, akan tetapi cuaca di Ba Na Hills terasa jauh lebih sejuk. Di dalam musim panas pun, suhunya di atas sekitar 22-23 darjah celcius dan ada masa-masa tertentu yang sangat berkabus. Ba Na ini dijumpai oleh seorang Kapten Perancis bernama Debay dan para kolonial Perancis membina resort di atas puncak gunung ini sebagai tempat berlindung dan bercuti dari kepanasan Da Nang yang boleh mencecah sehingga 36 darjah celcius, 5 darjah lebih panas dari suhu purata di Malaysia.

Bagi orang luar seperti aku, sudah tentu mengunjungi tempat begini menimbulkan rasa takjub dan kagum kerana adanya kota atau “kampung” Perancis di tersembunyi di sebalik gunung di Vietnam.  Dan anda jangan silap. Ini bukan seperti kampung “Perancis” Colmar Tropicale di Malaysia, seperti hidup segan mati tak mahu. Ba Na hills ternyata sangat besar dan pernah menempatkan lebih dari 200 villa dan resort untuk para kolonial dan elit Vietnamese yang kaya raya. Siapapun kolonial yang menerokai dan Ba Na dan membina resort ternyata tidak buat main-main. Mereka sangat serius dalam menjadikan Ba Na antara pusat peranginan terbaik.

Akan tetapi, selain pusat peranginan, aku melihat Ba Na hills adalah hasil tangan mereka (kolonial Peranchis) yang sangat rindukan “kampung”. Mereka mula menjajah Vietnam setelah menang Perang Peranchis-Indochina  pada 1884 dan hanya meninggalkan Vietnam pada tahun 1945. Resort di Ba Na hills baru dimulakan sekitar 1919. Lebih kurang 64 tahun mereka menetap di Vietnam.

Selain hasil tangan kolonial Peranchis, kerja dan hasil yang dilakukan oleh kerajaan Vietnam tidak kurang hebatnya. Mereka menambah cable car pada tahun 2013, dan antara top 10 cable car terbaik dunia. Perjalanan cable car daripada Stesen Ba Na ke puncak mengambil masa lebih kurang 20 minit dan ia memegang rekod kable paling panjang Guiness Word Book of Records. Malah, mereka sangat efisyen dan laju walaupun pengunjung sangat ramai dan sesak.

Pengalaman aku menggunakan khidmat pengangkutan dan mengunjungi tempat-tempat menarik sekitar bandar menunjukkan betapa cekap dan efisyen operator dan penduduk Vietnam. Mereka sangat membantu dan agak punctual. Tidaklah setepat waktu Jepun, akan tetapi tidak akan lewat lebih 5 minit.

Sudah tentu, Ba Na Hills secara keseluruhannya bukanlah Vietnam “sebenar”, dalam erti kata mencerminkan budaya Vietnam yang sesungguhnya. Tapi kita tidak boleh nafikan ia juga bahagian dari sejarah Vietnam, dan dalam menguruskan pusat peranginan sebesar ini, sudah tentu ini kebanggaan mereka. Sebagai negara yang dijajah dan akhirnya menang dalam mengusir penjajah, sudah pasti, dengan semangat yang jitu juga ada kerja keras dan daya upaya untuk meletakkan Vietnam sebagai pusat pelancongan yang bertaraf dunia.

Aku jatuh cinta dengan tempat ini kerana, aku telah sampai di Eropah, walaupun belum sampai di Eropah. Sekurang-kurangnya, itulah suasana yang dapat dirasai. Dengan Sembilan taman bunganya, patung Linh Un yang setinggi patung Jesus Christ di Rio De Janiero, beserta kedai dan restoran sepanjang laluan bebatuan pejalan kaki, Debay benar-benar berjaya membawa “kampung” nya yang jauh di Peranchis, ke pergunungan ini. Da Nang dan Ba Na Hills betul-betul dua dunia yang berbeza, walau di dalam musim panas yang sama.

Tetapi lagu Noah-Tak Ada Yang Abadi, tetap menghantui aku.

“Sedetik alunan detak jantungku,
Tak bertahan, melawan waktu,
Dan semua keindahan yang memudar,
Atau cinta yang telah hilang”

Ini merupakan sebuah persoalan yang penting. Saat sesuatu yang kau lihat indah itu, hilang keindahannya, apakah kerana keindahannya yang telah memudar? Ataupun cinta yang telah hilang? Aku percaya bahawa jika cinta telah hilang, segalanya akan memudar. Semoga aku tetap jatuh cinta pada Ba Na Hills, agar keindahannya tetap segar di ingatanku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *